Tuan tanah berehat dari mengambil sebarang tempahan jahitan sehingga diberitahu kelak. Harap maklum....

Friday 12 December 2014

breadcrumb sausage roll

Anda ada beli roti keping-keping tu? Hari ni last day, esok dah expired, tak sempat nak habiskan? Solutionnya? Bedal sampai habis? Atau masuk tong sampah? Larat ke bedal sampai habis? Tak sayang ke membazir? Nangis kang roti tu..siann dia. Hahaha..macam iklan pulak.

Sesungguhnya memang situasi ini sentiasa menhantui kami sekeluarga. Beli sebuku roti hari ni, esok lusa belum tentu habis. Takkan setiap kali kena buang, sayang, duit bukan senang nak dapat. Dulu ya, tong sampah selalu kenyang, tak sepeket full, mungkin setengah peket atau mungkin kulit saja. Kini InsyaAllah, tiada lagi pembaziran. Waktu malam gulung siap-siap dan simpan dalam peti ais. Pagi esok boleh goreng buat bekal sarapan di tempat kerja. Adam pun selera makan, sebab sausage feveret dia.


Breadcrumb Sausage Roll
Bahan-bahannya:
Roti gardenia/ high 5/ etc
Breadcrumb secukupnya
Sosej secukupnya (1 keping roti = 1 batang sosej)
Cheese slice secukupnya, kalau suka (1 keping roti = 1/2 keping cheese)
*Nak sedap guna slice cheese brand Bega
Sebiji telur dikocok(utk gam dan celup)

Cara membuatnya :
Gelek nipis roti supaya senang nak gulung.
letak cheese dan sosej atas roti.
(Kalau rajin, sosej tu bole goreng tanpa minyak dulu)
Gulung kemas-kemas.
Sapu telur kat hujung, dan kemaskan lagi.
Celup roti yang dah digulung ke dalam telur.
Golekkan atas breadcrumb sampai rata.
Kalau nak golek dua kali pun boleh, lepas golekan pertama, celup lagi dalam telur, dan golek semula atas breadcrumb.
Panaskan minyak, pastikan minyak betul-betul panas, baru masukkan roll ini.
Kalau tak cukup panas, takut nnti roll kita akan berminyak.
Bila dah agak kekuningan, bole lah diangkat.


Nampak cam hangus ek? Over fry ni, tapi AI prefer yang macam ni.
Sedap dan crunchy


Supaya mudah nak makan, potong la roll kita kecik-kecik
Ngap je

Nampak cheese yang melt tu? Nak senang, potong semasa panas.
Bila sejuk, cheese tu akan melekat kat pisau.
Azurina Indah

Wednesday 10 December 2014

Pulut seri muka

Kesinambungan entri sebelum ini, bagi menghabiskan stok daun pandan yang melambak, dan menghabiskan stok beras pulut Raya Haji yang lepas, AI memberanikan diri mencuba buat kali kedua. Kali pertama dah beberapa tahun yang lepas dicuba, tong sampah yang kenyang Ngee..... Kuih yang siap tak sedap dipandang mata, lapisan atas berombak-ombak macam lautan yang dilanda tsunami hohoho...

Maap ler gambar gelap sikit, testing kamera hp baru, ingatkan hp canggih kamera pun canggih, tapi malappp...


Pulut Seri Muka

Bahan-bahannya:
Lapisan bawah
400gm atau 2 cawan beras pulut putih (rendam 3 jam) AI rendam 10 minit je hohoho
2 cawan santan cair (sama dgn sukatan pulut) AI guna santan kotak pekat mcm tu je
1 sudu teh garam (Gaul dengan santan)
2 sudu teh minyak masak (untuk minyakkan loyang)

Cara-Cara untuk Membuat Lapisan Bawah

Bersihkan dan toskan beras pulut sehingga air kering. Masukkkan ke dalam Loyang (10x10) yang dialas oleh kertas plastik (14x14). Sapukan minyak di sekeliling loyang. 

Kemudian gaul sebati pulut dan santan. Santan dgn pulut mesti mempunyai paras yang sama. Kukuskan selama 30 minit. Sekali-sekala hendaklah dikacau supaya pulut masak dengan lebih rata. 

Setelah masak, tekan pulut tadi sehingga mampat dan padat dalam loyang. Sedia untuk dilapis dengan lapisan atas. 


Bahan-Bahan untuk Lapisan Atas 
2 cawan santan pekat 
150 mL air + 4 helai daun pandan (Dikisar dan ditapis untuk dijadikan air pandan) 
1 cawan tepung gandum 
1 1/2 sudu besar tepung jagung 
3/4 cawan gula pasir (jika hendak manis-1 cawan gula) 
1 biji telur ayam 
1/2 sudu teh garam 
Sedikit pewarna hijau 


Cara-Cara untuk Membuat Lapisan Atas

Masukkan tepung gandum, tepung jagung, telur, santan pekat, gula pasir dan garam ke dalam bekas. Kacau sehingga sebati. Kemudian masukkan air dan kacau lagi. 

Selepas itu, masukkan pewarna hijau dan sedikit air daun pandan. Kacau rata dan tapis.

Kemudian tuangkan campuran (adunan hijau) ke atas pulut yang telah ditekan. 

Kukus selama 1/2 jam atau sehingga masak. 

Sejukkan dengan betul-betul sebelum dipotong.



Percubaan saya adalah BERJAYA hihihi

Azurina Indah

Monday 8 December 2014

Agar-agar Santan & Puding Sumi nyam..nyam..

Assalamualaikum..

Entri makan-makan lagi, sebab ini aje yang termampu. Teringin nak menjahit sebenarnya, ambil tempahan macam dulu. Seronok dan puas hati. Tapi Alif kecik lagi, jenis melekat dengan mama pula tu. Bila hari cuti, nak kencing ke nak berak ke, mesti tergesa-gesa, kalau tak dengar la Alif berlagu merdu. Wat to do, si abang lekat kat babahnya, yang si adik lekat kat mamanya. Fair & square.

Minggu lepas team kat ofis buat makan-makan potluck version. So each one kena bawak satu dish. Mereng kejap hotak nak fikir menda apa nak bawa. Dish yang mudah dan bersesuaian bagi mereka yang punya anak melekat macam Alif. Makanya, AI pilih untuk buat agar-agar/puding atau sesetengah orang panggil lengkong.

Dalam pada tak ada masa dan tak ada idea, berjaya siapkan 2 jenis gituuu. Satu hijau, satu lagi kuning hehe. En Asben pulak mood sporting, bila AI mintak tolong ambilkan daun pandan kat bawah, sepokok dibawanya naik. Hamik kau.. Horaayy dalam hati, puas aku memandan pas ni. 

Disebabkan informasi di hujung jari, last minit baru AI google resepi, memang banyak jumpa, tapi semua bahan dan metod yang sama, so..kredit to everybody lah ye.. Tapi AI tak follow 100%, sebab agar-agar tali dan serbuk agar-agar yang AI ada tak sama berat macam dalam resepi. First time nak cuba agar-agar tali ni, nervous...

AI pilih untuk buat agar-agar lumut dan puding sumi. Agar-agar lumut ni sebenarnya agar-agar santan, bila dah beku akan dapat 2 lapisan, masa sekolah dulu pun ada diajar dalam subjek ERT.

Agar-agar lumut & puding sumi


Agar-agar Lumut/ Agar-agar Santan
Bahan-bahan:
Agar-agar tali (AI punye tu 23 gm)
Santan kotak (nak yang fresh pun bole)
Air daun pandan
Air secukupnya (formula kaler biru dibawah ye)
Setengah gelas gula pasir 
Sebiji telur
Pewarna hijau (optional)
*Sukatan air ikut peket agar-agar, berapa ml kena tambah tu kena tolak dulu isipadu santan dan air pandan yang digunakan. 

Cara nak buat:
Mula-mula rendam agar-agar tali dulu, lebih kurang 30 minit ke sejam gitu. Nanti tali-tali yang kasar tu akan melembut.
*Sukatan air : 
Contoh kat peket letak 1000ml air, kita bebas nak tambah extra dalam 300-400ml lagi, tekstur agar-agar still boleh dipotong dan dipegang. Dalam resepi AI ni, AI sukat santan 200ml dan air daun pandan 200 ml, so disitu kena tolak 400ml. Baki air adalah 600ml. AI taknak agar-agar yang keras sangat, jadi AI tambah lagi 300 ml, total air biasa kena tambah adalah 900ml.
Bila semua tali agar-agar dah larut, gula pun dah hancur, tapiskan.
Masukkan semula ke dalam periuk.
Sebatikan telur, air daun pandan dan santan sekali. Tapis
Masukkan adunan santan tadi ke dalam adunan agar-agar sambil dikacau ye.
Biar lama sikit, supaya nanti lapisan lebih cantik.
Sediakan loyang, basahkan loyang sebelum tuang adunan agar-agar tu, supaya nanti mudah dikeluarkan.
Bila dah tak panas, boleh la dimasukkan ke dalam peti ais.
Siap




Puding Sumi
Bahan-bahannya:
1 peket serbuk agar-agar (yang AI guna 10gm, arahan air 1L)
1 liter air
3/4 gelas gula
1 tin susu cair
2 sdb tepung kastad
Sumi jelly secukupnya (AI punye ni tak cukup sumi ye, harap maklom)

Cara nak buat:
Masukkan air, serbuk agar-agar dan gula dalam periuk. 
Kacau sampai semua agar-agar dan gula larut. Yang ni tak payah tapis.
Dalam bekas lain, satukan susu cair dan tepung kastad.
Tapiskan supaya hilang yang bergentel-gentel.
Masukkan dalam adunan agar-agar. Kacau sampai meletup-letup/pekat. Tutup api, biar sejuk sikit
As usual, sediakan loyang, basahkan dengan air.
Susun sumi jelly, ikut suka nak letak sebiji-sebiji atau nak potong kecil-kecil.
Tuang adunan kastad tadi atas sumi.
Bila dah sejuk, bolehla dimasukkan dalam peti ais.
Siap

Telan liur nengok gambar dua beradik kat atas ni
Makan sejuk-sejuk di hari panas, mmm sangat lah nyaman



Azurina Indah

Sunday 9 November 2014

Pizza gebu nyam..nyam..

Salam Ahad,

Lama tak update blog kan, takde masa. Lagipun sekarang ni banyak online dengan handphone aje, line P1 yang hampeh tu dah lama meninggal.

Seperti biasa update aka diari aka buku resepi untuk AI. Kalau salin kat kertas, kejap je dah tercicir, ataupun bila jumpa balik dah penuh gambar katun huhu..

Sekarang ni hampir setiap weekend AI meroti. Takdelah gempak macam pakar-pakar roti, setakat timbang, masuk dalam breadmaker, uli sikit-sikit, bentuk dan bakar. Siap. Janji boleh makan. Biar rupa hodoh janji sedap hehehe...

Ni AI nak kongsi resepi doh pizza sesuaii sangat dengan breadmaker, sukatan air ngam-ngam, doh yang terhasil tak terlalu keras atau terlalu lembik.

Resepi AI dapat dari blog Che Mat Gebu. Dah dia memang rajin meroti dengan breadmaker kann..

Bahan-bahan Doh pizza:
300g tepung gandum
6 g instant yis (AI agak je dlm 1 sdth penuh gitu)
20g mentega
10g gula halus
1 camca teh bread improver (optional)
1/4 camca teh garam
1 1/2 camca besar madu
170ml air
Sedikit tepung untuk ditabur

Sos spageti bolognese Prego/Kimball
Cheddar cheese secukupnya
Mozarella cheese secukupnya

Topping 1 (Ala-ala seafood):
Crab stick
Capsicum traffic light
Tuna Chunk dalam tin
Sos Thousand Island

Topping 2
Pepperoni daging

Cara nak buat:
Masukkan bahan doh dalam breadmaker, cecair dulu, baru tepung dan yis last sekali.
Pilih setting dough, lepas 1 1/2 jam doh anda dah siap.
Satu adunan ni boleh dapat 2 pizza saiz regular dan 1 pizza saiz personal.
Ratakan doh pizza atas pan, guna tangan pun boleh, cucukkan dgn garfu. Biar sekejap.
Sapukan rata-rata sos spageti atas doh dan boleh start menopping.
Taburlah ikut suka hati mana dulu mana kendian.
Last sekali tabur cheese ikut suka hati, lagi banyak lagi sedap, lagi cepat gemuk huhuhu..
Cara bakar ni depend pada ragam oven memasing.
AI bakar 20 minit je suhu 170C


Pizza cutter harga RM9.90 ku dah siap dirasmikan hehehe..

Banjir cheese pizza kat atas ni sampai peperoni pun tak nampak bayang.
Memang tak sesedap yang beli kat kedai, tapi dalam hati sangat puas.

Lain kali boleh try topping lain pulak.


Azurina Indah

Tuesday 14 October 2014

Selamat Hari Lahir Alif Haikal Zubir

Tepat pukul 9.05 malam, 14 Oktober 2013 bersamaan 9 Zulhijjah 1434 lahir khalifah ini seberat 3.06 kg, setelah menahan sakit hampir 10 jam di Wad Bersalin Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Hari ini genap setahun umur Alif Haikal bin Zubir. Penuh keletah mencuit hati, semakin lincah dan bijak. 

Doa mama buatmu anakku, semoga membesar menjadi insan yang berjaya dunia akhirat, sihat walafiat dan dimurahkan rezeki.



Azurina Indah

Friday 5 September 2014

Jemput-jemput susu

Resepi baru mungkin jugak tak baru pada anda, senang dan ringkas. Jemput-jemput susu untuk minum pagi, minum petang, atau mungkin makan malam?? late dinner?? Huhuh.. Buat kecik-kecik, bulat-bulat, saiz sesuai sekali ngapp aje.. pekena dengan teh o atau kopi o sambil menengok tv (kesian..duk umah flat takde taman, so takde udara nyaman nak hirup). AI dapat resepi ni dari seorang teman FB, kak Azura, dia pun mendapatnya dari temannya jugak, so dari teman ke teman ke teman lah ni.. Resepi lebih kurang jemput-jemput bugis aka jemput-jemput manis. Bezanya jemput-jemput susu ni, kena buh susu pekat hat kita minum ngan teh tarik tu, dah dibancuh dengan air panas. Lepas bancuh rehatkan bancuhan seketika, dalam 30 minit gitu, baru lah di goreng.

Jemput-jemput susu
Bahannya (sukatan agak-agak je):
Tepung gandum
Susu pekat manis
Gula (terpulang kalau tak nak letak pun takpe)
Air panas secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:
Gaul sebati tepung, susu, gula dan air panas. Adunan agak likat ye.
Rehatkan dalam 30 minit gitu. Kalau sampai sejam pun oke.
Yang penting adunan dah tak panas, sebab tadi bancuh dengan air panas kan.
Jemput ngan jari, wat bulat-bulat goreng dalam minyak banyak.



Cekodok bulat-bulat, dimakan oleh budak bulat, bertambah bulat lah rupanya.



With love from me to you..fuuuuuhhh (flying kiss)


Azurina Indah

Tuesday 2 September 2014

Murtabak Maggi

Sekali sekala tekak rasa malas nak telan nasi. Bila check stock, kat freezer ada lah sikit ayam kisar balance bulan pose aritu (hohoho lama siott). Bukak gobok megi je melambak. Telur ayam pulak ngam-ngam ada 2 biji. Maka tercetus lah idea murtabak maggi. Resepi ni AI belajar masa cooking demo session di Ara Damansara sebelum bulan puasa baru ni. Kenal Chef Muluk? Dia la yang mendemo murtabak maggi ni. Bahan-bahan pun simple je. Cumanya kalau nak cepat, kena la standby ayam kisar tu dulu. Standby macam mana? kena goreng tanpa minyak yakni keringkan airnya sampai betul-betul kering lah.


Murtabak Maggi

Bahan-bahannya (Ni cukup untuk 3 orang yang seleranya sedang-sedang):
1 peket maggi (dicelur & toskan)
Lebih kurang semangkuk kecik ayam kisar (yang dah dikeringkan airnya)
2 biji telur (kocok sedikit)
2-3 bijik bawang merah dihiris (nak sedap guna bawang holland)
Daun sup secukupnya dihiris
Perencah maggi kari
Sedikit minyak/minyak sapi

Cara nak buat:
Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk.
Gaul rata-rata.
Panaskan non stick pan. Nak senang boleh guna double pan are-ikan ye.
Panaskan minyak masak atau boleh guna minyak sapi 1 sdb.
Masukkan adunan mi tadi, ratakan
Tutup pan. Lepas 10 minit gitu cek la, kalau bawah dah kering, boleh terbalikkan.
Masa ni lah bergunanya double pan, terbalikkan je. 
Bau sure harum semerbak dah.
Lepas 10 minit gitu, agak-agak, telur dah kering, dah cam garing-garing gitu, bolehlah diangkat.
Jemput makan.



Azurina Indah

Thursday 28 August 2014

Selamat tinggal gigi bongsu pertamaku

20 Ogos 2014 genap 8 tahun AI jadi isteri orang. Genap xx tahun 4 hari umur AI sebab tarikh lahir AI adalah 16 Ogos. xx tu rahsia kerajaan hohoho.. kiranya tahun 2006 tu, menikah adalah hadiah harijadi AI lah. 

Anniversary tahun ni, hadiah untuk en asben adalah sebijik gigi seperti di bawah. Sengaja dihitamputihkan bagi mengurangkan kesan seram, gayat dan censored 18SG.


Macam besar kan saiznye? Yes memang besar dan bukan dibesar-besarkan. Gigi geraham bongsu memang saiz besar, dan mungkin sama juga dengan anak bongsu. Kwang3..

Dah lama AI menahan kesengsaraan gigi geraham bongsu ni. Gigi keluar tak sempurna, maka ada tempat untuk makanan terselit. Lama kelamaan gusi jadi sakit dan bernanah. Mula-mula bole jugak bertahan, tapi bila dah sakit rasa nak tampar semua orang. Tahun lepas AI tengah pregnantkan Alif, masa tu memang gigi ni teruk benor conditionnya sehinggakan AI terpaksa picit gusi untuk keluarkan nanah setiap malam. Baunye?? Hehe sendiri mo ingat la..bau surga hahahahha. AI tak berani nak ambil risiko cabut gigi masa pregnant, so bertahan lah sampai 20 Ogos 2014.

Prosedur minor surgeri AI buat kat Klinik Pergigian Dr Khairuddin Seksyen 19 Shah Alam. Mula-mula masuk bilik surgeri, sejuk gak tangan kaki, jantung berdegup kencang. Baring je kat 'kerusi gigi' tu, Dr Khairuddin mula mengecheck kondisi gigi AI, sah! kena bedah hohoho. Maka xray pun dibuat bagi memastikan bagaimana kedudukan sebenar gigi geraham ni, senget ke, terbalik ke, terbelit ke dan sebagainya. Mujur gigi Ai ok-ok saja. 

Next prosedur, gusi di spray, pahit rasanya. Lepas berkumur, bius diinject. Memang tak rasa sakit langsung. Berapa dos? Macam banyaak je tapi cucuk sana sikit sini sikit la. Kejap tu rasa bibir kiri dah tebal, lidah kiri pun kelu tak boleh berkata-kata. Doktor test cucuk gusi sama ada sakit ke tak. Memang dah tak rasa apa-apa, bermakna bius sudah berkesan. Menurut doktor, bius ni boleh bertahan selama 3 jam. Operasi dimulakan, gusi keliling gigi dilonggarkan, lepas tu AI diminta berkumur. Seyes! Busuk gila, kaler ludah pun euwww. Lepas gusi dibelah, doktor dengan sedaya upaya memulas gigi AI sampai menggigil-gigil tangannya. Hahaha, energy doktor lelaki kan, sekelip mata je tau-tau doktor kata "Gigi dah keluar ye". Ha??? Really?? Keting!! bunyi gigi di lepaskan ke dalam mangkuknye, AI describe sebagai mangkuk la hahahah. Lega...

Gigit kapas ni kuat-kuat kata doktor. Dalam hati aku, lidah kebas, pipi pun kebas, entah-entah aku salah gigit. Time untuk jahit menjahit pulak, jahit silang pangkah atau sembat susup, tak kisah la.. janji gigi AI dah settle.

Sebelum keluar, doktor pesan macam-macam pasal cara penjagaan gusi yang terluka ni la. Antaranya 

1) Gigit kapas, bila penuh je tukar yang baru sampai la darah macam samar-samar gitu. 

2) Hari cabut gigi tak boleh kumur kuat-kuat, kalau boleh hari esoknye baru berkumur.

3) Nak berludah pun kena lemah lembut takut darah yang baru nak clot tu mengalir balik

4) Makan pun kena yang lembut-lembut aje dan tak panas. 

5) second day baru boleh kumur dengan mouth rinse yang dibekalkan

6) Antibiotik wajib dihabiskan. Dalam kes AI memang kena makan antibiotik sebab gusi dah bernanah

7) Sakit akan berlarutan 3-4 hari. Bengkak mungkin terjadi (Yes!! dapat MC 3 hari)

8) Untuk mengurangkan bengkak, boleh tuam dengan ais. AI tuam dengan Alif punye ice block huhu

9) Jangan gatal-gatal nak korek-korek, kuis-kuis, tenyeh-tenyeh tempat jahitan tu, tak kira la, dengan jari ke, pencungkil gigi ke, lidah ke. Nanti bleeding balik

10) Ni yang paling best. Baby awak bagi husband jaga. Awak kena rest tau! hahahaha

Disebabkan 20 Ogos ni hari Rabu, hari pasar malam kat umah AI, menu malam ni Moi Sup aje.

Tiga hari berikutnya, menu semua lembut-lembut aje.

                             
Menu day 2 - Bubur ayam 

Menu day 3 - Bubur nasi dengan ikan bilis goreng yang ditumbuk


Menu day 4 - Bihun sup ala mi rebus cincai telo mata sebijik

Day 5 dan seterusnya : AI dah berani makan yang biasa-biasa. Cumanya mengunyah belah kanan je. 

Semalam 27/8 benang dah selamat dicabut. Gusi pun dah lopong dengan lubang yang sangat dalam. Lubang yang mampu menenggelamkan sebutir lengkap nasi tau. Seyes!! Cepat lah lubang gigi ni terkambus, hilang nikmat makan.

Azurina Indah

Saturday 9 August 2014

Selamat Hari Lahir Adam Haris

7 Ogos 2007 pukul 3.05 petang, lahirlah seorang khalifah seberat 3 kg di Hospital Besar Tawau. Khalifah ini diberi nama Adam Haris. Tahun 2014 genap 7 tahun umur khalifah ini, dah besar, petah berhujah walaupun kadang entah hapa-hapa hujahnya, cerdik, aktif dan of course nakal.

Putera sulung mama dan babah, pengajar dan pemberi pengalaman baru untuk kami berdua sebagai ayah dan ibu. Cucu sulung nenek dan kakek. InsyaAllah mama dan babah akan sentiasa mendidik dan menjagamu supaya menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.



Sekitar momen peniupan lilin kek hari lahir yang mama tempah khas dari JHD. Diilhamkan dari katun kegemaran Adam, Car McQueen. Adam yang request nak kek ada buah strawberi kat keliling. Maka jadilah macam kat atas.


Antara gambar Adam yang menjadi feveret mama.
Gambar atas : Budak nakal sentiasa jadikan penapis sayur mama sebagai mainan. 
Hamik ko, tapis sayur aka topi kombat.

Adam ada ekzema, so untuk elakkan berpeluh dan panas, pakaian mesti yang nipis-nipis aje.
Gambar atas : Sebab panas Adam memang tak suka pakai baju.

Gambar latest Adam Haris.
Syawal 2014 di kampung babah kat Ulu Sungai, Raub Pahang.

Semoga Adam Haris menjadi anak soleh, sihat walafiat dan berjaya dunia akhirat. Amin...

Mama sayang Adam!!

Azurina Indah

Wednesday 23 July 2014

Sambal Hitam Pahang

Sambil menyelam minum air.
Entry ni ditaip sambil buat keje kat opis.
Bukan makan gaji buta ye, blogging ni pada AI salah satu terapi hilangkan stress, pada orang lain tak tau lah.
Sambil menelaah kerja, sambil itu juga mengadap blog, Insyaallah kerja jadi lebih seronok. Yang tak seronok tu, bila employee kejenya kureng, tapi cukup tahun appraisal rating tip-top. Sure there is something wrong somewhere.

Eh eh terbebel pulak. Sebenarnya kali ni AI nak share pulak kiranya lebih kurang juadah ler..juadah eksotik pun boleh sebab susah nak jumpa kat tempat lain. Sambal Hitam Pahang. Kenapa Pahang? Mungkin sebab sambal ni susah nak jumpa kat tempat lain kot. Yang ni pun kira kali kedua AI makan sambal ni selepas kali pertama makan masa balik kampung Mei lepas.

Kakak ipar bekalkan sebekas belimbing buluh dah siap rebus. Macam mana cara nak rebus tu rasanya boleh google, banyak info boleh dapat.

Ikut hati malu nak tepek gambar ni kat blog, risau lain je rupanya dari sambal yang 'jadi'. First trial la katakan. En Asben pun tak reti nak buat sambal ni. So google la jawabnya. Memang senang, ringkas tapi masa memasak tu agak lama sikit.


Tengok gambar kat atas ni amacam? Jadi ke? Kalau dari segi rasa, AI rasa macam jadi. Dari segi rupa wallahualam. Dari googling yang AI buat, nak buat sambal ni tak boleh letak air, let say masa menumis tu jadi kering, kena lah tambah minyak dan minyak dan minyak aje. Menumis tu pun kena api perlahan, mesti cukup sabar dalam hati.

Sambal Hitam Pahang

Bahan-bahan (kuantiti agak-agak):
Belimbing buluh rebus secukupnya
Ikan bilis secukupnya direndam
Cili padi secukupnya
Bawang putih dan bawang merah secukupnya
Garam/gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara nak buat:
Tumbuk lumat bawang, cili padi dan ikan bilis.
Masukkan belimbing, tumbuk lagi sampai lumat.
Panaskan minyak, tumis bahan-bahan tadi.
Andai kata kering, letak minyak lagi.
Perasakan dengan garam dan gula.
Agak-agak kering tu, dah boleh la makan hehe..


Azurina Indah

Ayam Panggang Mudah


Salam Ramadhan

Cepat sungguh masa berlalu. Tanpa sedar minggu depan dah nak raya. Nanti tanpa sedar gak dah nak puasa lagi tahun depan punye.

Just wanna keep my recipe here for my future reference. Hmm....tengok gambar seakan terhidu-hidu lagi kewangian bau ayam panggang ni. Menusuk-nusuk hidung. Bulan puasa ni bukan saja breadmaker bekerja keras, kuali ajaib yang AI mention di sini pun bekerja keras jugak. Sepanjang bulan puasa kali ni, boleh dikatakan setiap minggu mesti panggang ayam. Sungguh simple, sedap, jimat masa dan menyelerakan.

Jangan ditenung kedudukan ayam-ayam tu, memang sungguh tak ada seni. Ni semua kerja en Asben la. Nampak oily..hmmm..memang oily. Kalau tak oily tak sedap le ayam panggang ni, sekali sekala ok lah. Resepi AI dapat hasil kombinasi beberapa blog, cilok sana sikit, cilok sini sikit, jadi jugak ayam panggang ku.

Ayam Panggang Mudah

Bahan-bahan (kuantiti agak-agak je)
Ayam potong besar-besar
Bawang putih
Lada hitam
Sos tiram
Madu
Minyak sedikit
Cili giling 
Garam/Gula (AI tak letak dah)

Caranya:

Kalau potongan ayam tu besar, hiris/siat dagingnya sedikit supaya nanti bahan perapan terserap masuk.

Tumbuk lumat bawang putih dan lada hitam.

Campur semua bahan perapan dalam mangkuk, gaul rata-rata.

Masukkan ayam, ratakan di keseluruhan ayam. Perap at least sejam.

Panggang dalam kuali double pan, make sure api kecik aje ye.

Dah siap..



Azurina Indah

Thursday 17 July 2014

Lagi...percubaan mendonat dan meroti dengan Lebenstill Breadmaker

Tengah gila meroti sekarang ni.. Iye lah nak menjahit tak tau bila berkesempatan.

Iftar minggu lepas tapi baru hari ni dishare, teruja sangat-sangat

Gebu segebu-gebunya.. diuli dengan gajet feveretku masa kini, si bibik Lebenstill


Adunan tepung donat ni ekceli tepung premix. Sebagai permulaan ok lah, esok-esok dah berkeyakinan barulah AI guna bancuhan sendiri.

Montel kan...


Yang ni pulak sweet bun, juga first time trial menggunakan sweet bun premix. Design bun tu sendri mo ingat lah, hahahah, biar buruk rupa janji sedap rasanya.


Buruk-buruk pun licin gak pinggan masa berbuka. Kebetulan bun-bun berbentuk pizza ni memang feveret Adam. 

Moh ler try ramai-ramai

Sedap!

Azurina Indah

Sunday 6 July 2014

Percubaan meroti dengan Lebenstill BM

Tertunailah sudah hasrat dihatiku memiliki gajet yang tak seberapa ni.

Breadmaker AI beli dari Lazada.com.my bulan lepas lagi

Masa tu harganya lepas diskaun RM199. Baru kejap ni AI check harga dah naik jadi RM222.

Memang selalunya harga online lebih murah berbanding beli kat kedai biasa tapi risiko tanggung sendiri la.

Banyak jugak brand/jenama barang letrik ni cuma dijual online je, kat luar takde.

Contohnya breadmaker yang AI beli ni. Brand Lebenstill, setakat ni jumpa kat Lazada je huhu.

Walaubagaimanapun, syukur Alhamdulillah akhirnya berjaya memilikinya, murah je punn..mana nak dapat kan..kan..kan..
Ada lampu lip-lap-lip-lap
Daya tarikan untuk Alif menggapainya huhuhu

Teruja bila mesin start mengadun bahan-bahan
Rasa tak nak berganjak dari situ
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
3 jam kemudian
.
.
.
.
.
.
.
Roti loaf pertama hasil dari BM ku


Mula-mula ingatkan roti ni keras. Ye memang keras crust nya macam papan hehehe
Bila sejuk je, terus AI kerat guna pisau ada gigi tu.
Di dalamnya lembut sekali


Nama pun first time, so untuk dapatkan the best result wajib lah ada try and error kan


Disebabkan BM ni bajet murah nye BM, so function memang tak banyak pilihan. Tapi itu bukan halangan. Kata orang tak kenal maka tak cinta. Lepas ni AI akan cuba buat lagi, tapi baking process tu harus dipendekkan, yakni stop kan process sebelum bunyi beep. Sabar itu separuh daripada iman.

Sebagai rujukan di masa-masa akan datang, AI tepek resepi ni di sini. Kawan-kawan pun boleh try kalau nak. AI guna separuh dari sukatan dalam resepi ni. BM AI tak mampu nak menguli 500gm tepung hohoho.

Roti Naik Pahang

Bahan bahan:
1 biji telur
2 sudu besar susu pekat manis
3/4 cawan gula
2 sudu kecil ibu roti  (bancuh dengan 100 ml air suam)
2 sudu besar majerin
1 sudu kecil shortening  
500 gm tepung gandum  
200 ml air (masukkan telur dan susu pekat manis dalam bekas, dikacau dan tuang air ke dalamnya sehingga cukup 200 ml)
1 sudu besar susu tepung  

Cara cara:
Rendam yis dalam 100ml air suam dengan sedikit gula supaya ianya kembang berbuih. Biarkan sehingga berbuih.
Step lepas ni semua guna breadmaker, dari menguli sampai la ke baking, sebab tu roti AI nampak macam roti paun.
Deco untuk roti ni boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti masing-masing. Tapi sebagai beginner dengan hasil sebegini, AI cukup puas hati (senyum lebar...)

Azurina Indah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...